Isnin, 28 Februari 2011

Karnival Nasyid bersama Nazrey Raihan





Kehadiran saudara Nazrey Johani, bekas penyanyi utama kumpulan nasyid Raihan selaku selebriti tanah air memeriahkan Karnival Nasyid 2011 pada 26 Februari 2011. Malahan, 12 kumpulan nasyid pelajar yang bertanding pada program itu menunjukkan persembahan yang cukup menarik. Saudara Nazrey menyanyikan beberapa buah lagu nasyid sambil menyampaikan nasihat kepada pelajar. Sambutan pelajar amat menggalakkan dan kehadiran terbuka kepada seluruh komuniti Felda Jelai.

Rabu, 2 Februari 2011

Bakti Kepada Yang Memerlukan : Kerusi Roda



Unit Kesihatan Sekolah telah menerima sumbangan kerusi roda dan tongkat kaki tiga daripada individu yang prihatin pada 27 Januari 2011. Ini untuk kegunaan kecemasan jika ada pelajar yang sakit di sekolah. Bagaimanapun, seorang pelajar tingkatan tiga , Mohd. Harfizzan 3 UM yang kemalangan jalan raya dan cedera teruk telah menjadi peminjam kerusi roda ini. Keluarganya meminjam kemudahan ini selama tiga bulan.
Encik Hairulnizam Maarof, Pegawai PPD Tampin, bapa angkat sekolah yang kebetulan hadir telah menyempurnakan penyerahan bantuan pinjaman kemudahan kepada wakil keluarga, Puan Zainab, kakak pelajar tersebut pada 28 Januari 2011.

Selasa, 25 Januari 2011

KPI HEM 2011

KPI

Unit HEM 2011

Key Performance Indicator (KPI) bagi aspek penting yang perlu mendapat tindakan bersama semua guru dan staf pada tahun 2011 ialah :

1. Pembinaan Sahsiah, Kepimpinan dan Disiplin Pelajar

a. Mengurangkan kes-kes salah laku/disiplin pelajar yang berikut :

1. Penurunan kes ponteng sekolah tidak melebihi 1 % sahaja setahun

2. Penurunan kes buang sekolah menjadi tidak melebihi 5 kes setahun

3. Penurunan kes gantung sekolah menjadi tidak melebihi 20 kes setahun

4. Penurunan kes datang lambat ke sekolah tidak melebihi 1 % setahun

5. Penurunan kes ponteng kelas menjadi 20 kes sahaja setahun

6. Penurunan kes sosial menjadi sifar kes sosial 2011

b.Meningkatkan bilangan / peratus perkara berikut:

1. Peningkatan kehadiran setiap kelas melebihi 95 % pada setiap bulan

2. 100% kehadiran ibu bapa dalam menangani kes pelajar

3. 100 % pelajar lelaki memakai baju Melayu lengkap setiap hari Jumaat

4. 100% pelajar memakai pakaian sukan semasa subjek PJPK

5. Mengadakan sekurang-kurangnya tiga program pembinaan sahsiah

6. Mengadakan sekurang-kurangnya satu program bina kepimpinan pelajar

7. Mengadakan sekurang-kurangnya satu program bersama agensi luar

8. Semua Unit HEM melaksanakan Pelan Operasinya pada tarikh ditetapkan

2. Pengurusan Kelas, Kebajikan Pelajar, Yuran Tambahan dan Sumbangan PIBG

a. Memastikan perkara yang berikut oleh semua guru kelas

terhadap pelajar kelasnya :

1. Semua pelajar membayar Yuran Tambahan sebelum 1 April 2011

2. Semua pelajar membayar Sumbangan PIBG sebelum 1 Julai 2011

3. Semua pelajar membayar Insurans Takaful sebelum 1 Februari 2011

4. Melaporkan kes pelajar miskin/tidak mampu bayar sebelum 1 Feb. 2011

5. Melaporkan kes kesihatan pelajar sebelum 1 Februari 2011

6. Mengemas kini data SMM pelajar sebelum 1 Februari 2011

7. Mengemas kini data pelajar anak yatim sebelum 1 Mac 2011

8. Melengkapkan keseluruhan buku rekod kedatangan secara serta-merta

9. Memastikan semua pelajar mendapat buku teks secara serta-merta

10. Memastikan kelas disempurnakan sebelum 1 Februari 2011

11. Markah Keceriaan Kelas melebihi 80% pada setiap minggu

12. Surat Amaran Tidak Hadir Sekolah dikeluarkan secara serta-merta

13. Melengkapkan markah Menggapai Bintang sebelum 7hb setiap bulan

Sabtu, 22 Januari 2011

Program Pelajar PMR dan SPM bersama Ibu Bapa



Program Perjumpaan Pelajar PMR dan SPM bersama Ibu Bapa telah berjaya diadakan pada 13 dan 19 Januari 2011. Penceramah khas dijemput untuk motivasi dan tips kepada penjaga. Turut hadir ialah fasilitator e-pendidikan yang memperkenalkan program portal pendidikan untuk peningkatan prestasi anak-anak dalam peperiksaan.
Diharapkan, pelajar mendapat input berguna untuk mengorak langkah belajar bersungguh-sungguh dan ibu bapa memainkan peranan pula di rumah.

Isnin, 30 Ogos 2010

Program Khatam al-Quran 2010



Program tersebut telah berjalan sepanjang bulan Ramadan. Kesemua pelajar terlibat telah menerima senaskah al-Quran hasil sumbangan banyak pihak. Kemuncaknya ialah pada 27 Ogos 2010 bersamaan 17 Ramadan. Majlis Khatam al-Quran telah dijayakan selepas solat Asar dan seterusnya Program Iftar Ramadan bersama guru-guru, tetamu jemputan dan PIBG.

Rabu, 4 Ogos 2010

Program Motivasi Peperiksaan Pelajar PMR 2010


Ibu bapa dan semua pelajar tingkatan tiga 2010 hadir pada petang 4 Ogos 2010 dalam Program Motivasi Peperiksaan PMR 2010 di Dewan Bestari. Melalui sesi ceramah oleh penceramah jemputan, Ustaz Norazman Mohamad, pelajar-pelajar menginsafi tanggungjawab dan peranan mereka untuk mencapai kecemerlangan, sekali gus memiliki watak insan mulia. Kebanyakan pelajar menangis mengalirkan air mata dan berpelukan dengan ibu bapa mereka dan menulis azam serta janji untuk berubah ke arah kebaikan dan menjadi anak yang soleh.

Khamis, 29 Julai 2010

Pelancaran Desa e-Kasih di Kg. Londah Gemas


YB. Dato' Seri Shapie Apdal dan YAB. Dato' Seri Utama Hj. Mohamad Hasan

Pelajar-pelajar SMK Jelai (F)

Tuan PPD Tampin dan Pengetua SMK Jelai (F) turut hadir

10 orang pelajar SMK Jelai (F) bertuah untuk hadir ke Pelancaran Desa e-Kasih berhampiran Kg. Londah, Gemas pada 29 Julai 2010. Dapat bertemu dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, YB. Dato' Seri Mohd. Shapie Apdal dan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato' Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hassan. Desa e-Kasih merupakan satu projek kerajaan untuk menyediakan kediaman kepada mereka yang miskin dan tidak berumah.